Bila bercerita pasal tempat makan menarik, memang setiap orang ada cadangan yang tersendiri. Kami di sini ingin berkongsi 7 tempat ‘rare’ yang ada area Klang Valley ni. Enjoy!
Restoran Roti Puri

Restoran Roti Puri ini terletak di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi. Kedai ini adalah antara ‘port breakfast’ terbaik orang bangi. Mereka menyajikan roti puri dihidangkan dengan kuah dal, kuah sardin, kuah kari ayam dan kuah puri. 1 set berharga RM3 mempunyai 5 roti puri bersama kuahnya. Selain roti puri, mereka juga menyajikan menu sarapan lain seperti nasi lemak, bihun goreng, lontong, mee goreng, roti canai dan bermacam lagi. Restoran ini beroperasi dari pukul 8am – 7.30pm.
Cafe Raja Cendol Taming Sari Putrajaya

Kedai ini terletak di Ayer@8 Presint 8, Putrajaya. Kedai ini menyajikan pelbagai jenis cendol, antaranya adalah cendol durian musang king, cendol durian D24, cendol durian D101, cendol durian udang merah dan cendol biasa. Setiap cendol boleh ditambah dengan ‘toppings’ seperti ‘ice cream’ dan ‘sticky rice’. Selain itu, mereka juga menyajikan DimSum inti ayam black pepper, ayam, ‘vege’ dan ‘seafood’. Kedai ini agak ‘pricey’ kerana berada dalam shoplot Ayer@8, namun makanannya memuaskan dan persekitarannya sangat bersih.
Nasi Lemak Maria

Kedai ini terletak di Seksyen 4, Bangi. Apa yang istimewa kepada kedai ini adalah mereka beroperasi di kawasan perumahan. Rumah mereka dijadikan dapur, garaj dijadikan tempat pelanggan makan dan khemah di depan rumah dijadikan counter beli makanan. Nasi Lemak Maria ini menyajikan nasi lemak berlauk seperti telur mata, sotong, udang, kerang, ayam goreng, paru, limpa dan bermacam lagi. Selain nasi lemak, mereka juga menjual kuih muih, lontong, bihun goreng dan minuman yang dibuat di dapur mereka. Kedai ini beroperasi pagi sahaja, 8am hingga 12pm.
Warung Kita

Kedai ini terletak di Kampung Sungai Tangkas, Bangi dan berdekatan dengan UKM. Keistimewaan kedai ini adalah mereka menyajikan nasi manggey atau dikenali sebagai nasi kakwok. Nasi kukus bersama ayam goreng yang dicincang dihidangkan bersama kuah gulai dan hirisan timun. Selain nasi manggey, mereka juga menyajikan masakan Kelantan seperti nasi berlauk ikan tingkol, nasi lemak ikan tongkol dan nasi ayam kampung. Dari segi minuman, air yang ‘special’ disini ialah ‘coconut shake’ dan sebaldi kecil air kelapa muda. Dengan harga yang berpatutan, ramai pelajar memilih kedai ini sebagai ‘port lepak’ mereka. Kedai ini beroperasi dari pukul 9am hingga 8pm.
Roti Canai D’Bukit

Roti Canai D’Bukit ini terletak di Jalan Selaman, Bangi bersebelahan jalan raya. Nama kedai ini D’Bukit kerana kedai ini di atas bukit yang rendah. Mereka menyajikan masakan sarapan seperti nasi lemak, roti canai, soto dan minuman panas dan sejuk. Roti canai mereka tidak seperti roti canai mamak, lebih dikenali sebagai roti canai melayu kerana texturenya yang lembut dan kurang berminyak. Antara lauk kegemaran pelanggan yg dihidangkan bersama roti canai atau nasi lemak adalah kari kambing dan sambal sotong. Kedai ini beroperasi seawal 6.30am hingga 12pm.
Nasi dulang daun pisang

Restoran Al-Mubarakah atau dikenali sebagai Nasi Dulang Daun Pisang ini terletak di Sungai Ramal, Kajang. Makanan disini sangat banyak dan pelbagai. Antaranya ialah set dulang ayam, set dulang itik, set dulang ayam kampung, set dulang keli, set dulang udang, set dulang kambing dan bermacam lagi. Di dalam set dulang itu ada nasi putih, timun, ulam, air asam, sambal belacan, sambal penyet dan masak lemak dihidangkan dengan daun pisang. Untuk minuman pula, pelbagai jenis dan warna yang mereka sajikan seperti teh tarik madu, coconut shake, milo tabur, keladi cincau, jagung cincau dan bermacam lagi. Kedai ini beroperasi dari pukul 10am hingga 4pm.
House Of Kambing

Restoran ini agak tersorok kerana ia terletak di dalam MAEPS Serdang. House of Kambing atau dikenali sebagai HOK adalah restaurant pertama di Malaysia yang beroperasi di dalam ladang kambing yang luas. Makanan disini adalah berasaskan kambing seperti nasi kukus kambing bakar, nasi goreng kambing, kambing crispy, sup kambing, dan banyak lagi. Minuman disini pula sangat menarik kerana mempunyai warna warni dan sedap seperti HOK special, soda mina, susu kambing blended, dan bermacam lagi. Pelanggan juga boleh bergambar bersama kambing dan unta. Kedai ini beroperasi dari pukul 11am hingga 6.30pm.
Nantikan untuk lebih lagi pada masa akan datang